Maklumat Universiti :
Senarai Program

PENGENALAN
LATAR BELAKANG
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula pada 16 September 1993 dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP). Pengisytiharan penukaran nama Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) kepada Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) telah diumumkan oleh Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia pada 12 April 1996 sebagai mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangannya dalam menangani isu pembangunan sumber manusia dalam bidang teknikal di negara ini. Pada 30 September 2000, Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia telah mengisytiharkan penetapan taraf ITTHO kepada Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO). Pengiktirafan ini telah meletakkan KUiTTHO setaraf dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain di negara ini dan pada 1 Februari 2007 KUiTTHO telah bertukar nama kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil penjenamaan semula semua Kolej Universiti di seluruh Malaysia.
UTHM menawarkan program di peringkat Pasca Ijazah, Sarjana Muda dan Diploma. Kursus-kursus yang ditawarkan di peringkat Pasca Ijazah ialah di dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan, Pendidikan Teknik & Vokasional, Pengurusan Teknologi dan Teknologi Maklumat. Program Sarjana Muda pula menawarkan kursus-kursus Kejuruteraan,Teknologi Kejuruteraan, Pendidikan Teknik & Vokasional, Teknologi Maklumat dan Pengurusan Teknologi dalam pelbagai bidang. Program Diploma pula menawarkan kursus-kursus Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Maklumat.
VISI
Menuju ke arah universiti bertaraf dunia dalam kejuruteraan, sains dan teknologi untuk pembangunan lestari
MISI
UTHM komited untuk mewujudkan dan menyebarkan pengetahuan bagi memenuhi keperluan industri dan komuniti serta menyuburkan modal insan yang kreatif dan berinovasi berasaskan paradigma tauhid
FAKULTI
Program-program yang ditawarkan akan dikendalikan oleh lapan (8) fakulti dan satu (1) pusat pengajian iaitu:
1.       Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina
2.       Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
3.       Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
4.       Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
5.       Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
6.       Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
7.       Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi
8.       Fakulti Teknologi Kejuruteraan
9.       Pusat Pengajian Diploma
SISTEM PENGAJIAN
UTHM melaksanakan sistem pengajian berpandukan sistem semester. Tahun akademik dibahagikan kepada dua (2) semester lazim iaitu Semester I dan Semester II. Setiap semester lazim terdiri daripada 14 minggu perkuliahan.
KEMASUKAN PELAJAR
Kemasukan pelajar bagi program Sarjana Muda adalah terbuka kepada lulusan STPM, Matrikulasi dan Diploma yang berkaitan daripada UA/Politeknik. Bagi program Diploma, kemasukan pelajar adalah terbuka kepada calon yang memiliki SPM.
TEMPOH PENGAJIAN
Tempoh pengajian lazim bagi menamatkan kursus Ijazah Sarjana Muda ialah minimum enam (6) semester atau 110 kredit bagi program bukan profesional dan tempoh maksimum pengajian yang dibenarkan ialah 12 semester atau 120 kredit bagi program profesional.
Tempoh pengajian lazim bagi menamatkan kursus Diploma pula ialah enam (6) semester dan tempoh maksimum yang dibenarkan ialah 10 semester. Walau bagaimanapun, tempoh minimum menamatkan pengajian adalah tertakluk kepada pengecualian kredit yang diluluskan oleh pihak Universiti.
KEMUDAHAN DAN PERKHIDMATAN
Terdapat pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di Universiti ini dan antaranya ialah Perpustakaan Digital, Bengkel & Makmal, Ruang Kuliah, Kiosk, Perkhidmatan Pelajar & Kedai Koperasi, Pengangkutan, Penginapan Asrama, Masjid, Sukan & Rekreasi, Bank Muamalat & ATM, Pusat Kesihatan Universiti, Perkhidmatan Kaunseling & Kerjaya, Kafetaria & Kantin, Pos Mini dan lain-lain.
KETERANGAN BIASISWA/DERMASISWA
Pelajar digalakkan memohon biasiswa/dermasiswa/pinjaman atau lain-lain bantuan kewangan daripada badan-badan penganjur yang layak dipohon. Syarat dan peraturan penajaan adalah tertakluk kepada pihak penaja berkaitan. Terdapat penaja yang boleh membiayai pengajian pelajar di UTHM, antaranya adalah seperti berikut:

  1. Kementerian Pelajaran Malaysia
  2. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
  3. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
  4. Yayasan Negeri
  5. Majlis Amanah Rakyat (MARA)
  6. Lain-lain
MAKLUMAT LANJUT
Untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai program yang ditawarkan di UTHM, sila hubungi :
Pejabat Pengurusan Akademik
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
86400 Parit Raja, Batu Pahat
Johor.

Tel : 07-4537696/7375/7687/7690/7689
Faks : 07-4536085
E-mel : ppa@uthm.edu.my
Laman Web Universiti : http://www.uthm.edu.my

 

Chat 1