Maklumat Universiti :
Senarai Program

LATAR BELAKANG DAN SEJARAH
Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah ditubuhkan pada 24 November 1994 dan merupakan adalah sebuah universiti awam (UA) ke-9 ditubuhkan di Malaysia yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah. Berpaksikan motto ‘Bertekad Cemerlang’, matlamat penubuhan UMS bukan semata-mata menghasilkan sumber manusia untuk memenuhi keperluan negara tetapi bermatlamat menghasilkan graduan yang berbakat, berkemahiran tinggi dan mengkhusus dalam pelbagai bidang.

UMS bermula dengan tiga buah sekolah dan satu pusat dan menerima seramai 205 pelajar sesi akademik pertama pada tahun 1995. Kemudian, sebanyak 10 buah sekolah lagi ditubuhkan secara berperingkat termasuklah dua kampus cawangan iaitu di UMS Kampus Antarabangsa Labuan yang menempatkan dua buah sekolah dan UMS Kampus Cawangan Sandakan dengan sebuah sekolah..

Pada 6 Mei 2014, perisytiharan nama sekolah ke fakulti telah berlangsung dan penukaran ini berkuat kuasa bermula 1 Jun 2014. Senarai fakulti tersebut ialah Fakulti Sains dan Sumber Alam; Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan; Fakulti Psikologi dan Pendidikan; Fakulti Komputeran dan Informatik; Fakulti Pertanian Lestari; Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan; Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan; Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan. 
Sehingga tahun 2020, UMS telah berjaya menghasilkan seramai 79,000 graduan dalam pelbagai bidang dengan purata kemasukan pelajar baharu seramai 4,000 orang setahun. Pada Majlis Konvokesyen UMS ke-21, seramai 3,690 graduan menerima ijazah Sarjana Muda, 2 menerima ijazah Diploma Pascasiswazah, 396 menerima ijazah Sarjana dan 71 menerima ijazah Doktor Falsafah.

UMS menawarkan sebanyak 69 program pengajian di peringkat ijazah sarjana muda yang terdiri daripada program Sains, Kejuruteraan, Perubatan, Sains Makanan, Pertanian, Perhutanan, Seni, Sains Sosial, Perniagaan, Perakaunan dan Ekonomi.  UMS mempunyai kira-kira 15,000 pelajar prasiswazah dan 2,500 pelajar pascasiswazah yang mengikuti pengajian Sarjana atau Doktor Falsafah.

UMS mengutamakan kualiti menyeluruh termasuklah kualiti graduan serta kualiti
institusi. UMS bertekad untuk mencapai kecemerlangan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa menerusi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan, khidmat masyarakat serta mencapai keseimbangan pengkhususan ilmu dan keperibadian pelajarnya.
 
PROGRAM PENGAJIAN
UMS menawarkan sebanyak enam puluh empat (69) program pengkhususan  melalui sepuluh (10) buah Fakulti bagi membolehkan pelajar dianugerahkan dengan salah satu ijazah sarjana muda dengan kepujian seperti berikut :

  • Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa (Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir) dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Antarabangsa dengan Kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa (Ekonomi Kewangan Antarabangsa) dengan kepujian
  • Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam dengan Kepujian
  • Ijazah Doktor Perubatan
 
Pilihan ke program pengkhususan yang tepat adalah berdasarkan kepada kelayakan minimum yang diperolehi dan bersesuaian dengan minat pelajar.  Ini merupakan aspek penting bagi memastikan pelajar dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang dan dianugerahkan ijazah di akhir pengajian kelak.
 
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
UMS menekankan pendekatan secara holistik terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang mana teori dan praktikal adalah diberi penekanan yang sama bagi memastikan pelajar mendapat ilmu dan kemahiran yang seimbang. Pelajar akan diajar menggunakan modul yang dibangunkan untuk menyampaikan ilmu berdasarkan perspektif moden serta terkini. Program-program pengajian adalah direka bentuk dengan kerjasama pihak industri yang berkaitan bagi memenuhi keperluan industri.
 
KEMUDAHAN UNIVERSITI
Kampus UMS merupakan salah satu daripada kampus tercantik di dalam negara, dengan landskap yang menarik, kehijauan dan struktur bangunan yang mengagumkan. Semenjak penubuhannya, UMS sentiasa berusaha menyediakan kemudahan moden di samping mengekalkan keadaan semula jadi di sekitarnya. UMS mempunyai kemudahan perkhidmatan bas, perpustakaan, makmal dengan peralatan canggih, makmal multimedia, kemudahan Wi-Fi, pusat sukan, asrama, kafe, muzium, galeri, akuarium, masjid dan pusat rawatan.
 
ALUMNI
UMS adalah antara institusi yang menyumbang kepada sumber manusia yang berilmu dan berkemahiran di dalam negara. Sehingga kini, UMS telah menghasilkan kira-kira 75,000 graduan, termasuk 1,332 graduan merupakan pelajar antarabangsa dari negara-negara seperti China, Brunei, Iraq dan Indonesia. Alumni UMS kini berkhidmat di pelbagai organisasi terkenal dan tidak kurang juga yang kini menjadi usahawan yang berjaya. Peluang pengajian di UMS telah membekalkan mereka dengan kemahiran dan ilmu seperti kemahiran komunikasi, pemikiran kritis serta kemahiran bahasa yang membantu mereka meneroka dunia kerjaya dengan berkeyakinan. Di samping itu mereka juga dididik agar sentiasa beretika dan berpegang teguh kepada agama.
 
ALAMAT
Ketua
Bahagian Perkhidmatan Akademik
Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS
88400 Kota Kinabalu
SABAH
(Tel : 088-320213)
(Faks : 088-320090)
Laman Web : www.ums.edu.my
 
 

Chat 1