Maklumat Universiti :
Senarai Program

LATARBELAKANG DAN SEJARAH

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) telah diluluskan penubuhannya oleh Jemaah Menteri pada 25 Julai 2001. Pada 1 April 2002, Institusi Pengajian Tinggi Awam ke-17 ini mula beroperasi kampus sementara di Kubang Gajah, Arau, Perlis. Setelah lima tahun bertapak di bumi Perlis, universiti ini telah dijenamakan semula daripada KUKUM kepada UniMAP pada 1 Februari 2007.
 
MISI UniMAP
Melahirkan insan kamil yang menyumbang kepada agenda pembangunan dan daya saing industri negara.

VISI UniMAP
Institusi akademik dan penyelidikan yang berdaya saing di persada antarabangsa.
 
LOKASI KAMPUS
Kampus induk UniMAP terletak di dua lokasi iaitu di Pauh Putra  dan di Sg. Chuchuh yang masih di peringkat pembangunan. Buat masa ini, kampus UniMAP masih bersifat kampus yang bertaburan (distributed) dan beroperasi di beberapa lokasi kampus lain seperti di Kangar, Jejawi dan lain.-lain. Setiap kampus dihubungkan dengan kemudahan perkhidmatan bas.
  
SISTEM PENGAJIAN
Kurikulum program pengajian  dirangka untuk dilengkapkan dalam tempoh lapan (8) Semester bagi Sarjana Muda Kejuruteraan dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dalam tempoh enam (6) Semester bagi program pengajian Sarjana Muda Perniagaan                      dan Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dan dalam tempoh tujuh (7) Semester bagi Sarjana Muda Teknologi. Sidang Akademik dibahagikan kepada kepada dua (2) semester yang tiap-tiap satunya mengambil masa 14 minggu pembelajaran.
                                                                                                                                                                                            
PROGRAM PENGAJIAN
UniMAP menawarkan 37 program peringkat Sarjana Muda di bawah 6 buah Fakulti seperti berikut:
  • 14 Program Sarjana Muda Kejuruteraan
  • 13 Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan
  •   2 Program Sarjana Muda Perniagaan
  •   1 Program Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu
  •   7 Program Sarjana Muda Teknologi
 

FAKULTI DAN PROGRAM PENGAJIAN YANG DITAWARKAN
 

Fakulti Sains Gunaan Dan Kemanusiaan
 
  • UR6321001 Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian) 
Program ini dirangka khusus untuk menghasilkan graduan yang mempunyai pengetahuan serta kemahiran dalam komunikasi, media baharu, teknologi maklumat, pengurusan dan keusahawanan yang berdaya saing, inovatif dan kreatif selaras dengan keperluan industri. Kurikulum program direka secara khusus bertujuan: pertama, memupuk tenaga kerja yang kompeten berkomunikasi supaya berkesan melaksana tugas dan tanggungjawab dalam organisasi; kedua, melatih tenaga kerja yang berupaya memanfaatkan media baru untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian; dan ketiga, memindahkan ilmu pengurusan dan keusahawanan kepada tenaga kerja supaya berupaya menjadikan organisasi lebih efektif dan berdaya saing dalam proses menawarkan produk atau perkhidmatan. Gabungan pelbagai kemahiran pada satu masa akan menghasilkan graduan hibrid yang memiliki daya saing tinggi untuk menghadapi cabaran dalam era globalisasi serta mempunyai kualiti kendiri yang tinggi untuk pasaran kerjaya.
 
Malah, program ini juga mampu melahirkan tenaga kerja yang mampu mendokong keperluan dasar industri kreatif yang semakin berkembang pesat terutamanya industri kreatif multimedia yang menekankan pembangunan produk-produk kreatif dan menjadikan industri kreatif sektor dinamik yang dapat meningkatkan sumbangan kepada KDNK negara dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi berpendapatan tinggi (high-income economy).
 
  • UR6213001 Sarjana Muda Teknologi Media Interaktif (Kepujian) 
Program ini dirangka khusus untuk menghasilkan graduan yang mempunyai pengetahuan serta kemahiran dalam komunikasi, media baharu, teknologi maklumat, pengurusan dan keusahawanan yang berdaya saing, inovatif dan kreatif selaras dengan keperluan industri. Kurikulum program direka secara khusus bertujuan: pertama, memupuk tenaga kerja yang kompeten berkomunikasi supaya berkesan melaksana tugas dan tanggungjawab dalam organisasi; kedua, melatih tenaga kerja yang berupaya memanfaatkan media baru untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian; dan ketiga, memindahkan ilmu pengurusan dan keusahawanan kepada tenaga kerja supaya berupaya menjadikan organisasi lebih efektif dan berdaya saing dalam proses menawarkan produk atau perkhidmatan. Gabungan pelbagai kemahiran pada satu masa akan menghasilkan graduan hibrid yang memiliki daya saing tinggi untuk menghadapi cabaran dalam era globalisasi serta mempunyai kualiti kendiri yang tinggi untuk pasaran kerjaya.
 
Malah, program ini juga mampu melahirkan tenaga kerja yang mampu mendokong keperluan dasar industri kreatif yang semakin berkembang pesat terutamanya industri kreatif multimedia yang menekankan pembangunan produk-produk kreatif dan menjadikan industri kreatif sektor dinamik yang dapat meningkatkan sumbangan kepada KDNK negara dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi berpendapatan tinggi (high-income economy).
 
  • UR6340001 Sarjana Muda Perniagaan  (Kepujian) (Perniagaan Antarabangsa)
Matlamat program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan serta berkebolehan mengendalikan urusan perniagaan di arena antarabangsa sesuai dengan kedudukan Malaysia yang semakin meningkat dalam konteks perdagangan antarabangsa serta melahirkan tenaga pakar sebagai pengurus atau pekerja dalam apa jua dunia perniagaan.  Maka, ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang isu global serta ilmu perniagaan antarabangsa merupakan persediaan penting untuk menghadapi dunia perniagaan yang lebih kompetitif. Graduan daripada program ini dapat memahami intipati untuk menjalankan pengurusan perniagaan di Malaysia dan di peringkat global di samping memahami faktor budaya, bahasa, sistem politik, geografi, dan sosio ekonomi. Mereka juga mempunyai kebolehan menggabungkan dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, berketrampilan, boleh berdikari serta berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah melalui pemikiran yang inovatif dan kreatif serta didokongi sifat mulia dan terpuji. Selain itu, program ini juga dapat menarik minat pelajar-pelajar antarabangsa untuk belajar di Malaysia dalam bidang pengurusan perniagaan sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia (world class education).

Kerjaya utama bagi graduan lulusan program ini adalah sebagai pengurus dalam bidang pekerjaan yang berasaskan kemahiran pengurusan, operasi, kewangan, audit, pelaburan dan perbankan, sumber manusia , pemasaran dan teknologi maklumat.   Graduan ini juga berkemampuan memberikan perkhidmatan pakar dalam sektor penyelidikan dan pembangunan industri perniagaan melalui khidmat nasihat perniagaan, urusniaga perdagangan ke atas syarikat multinasional, industri tempatan, industri kecil, universiti dan badan korporat dan agensi kerajaan. Mereka juga berupaya memberikan perkhidmatan dalam bidang perundingan dan penasihatan contohnya sebagai perunding pengurusan projek dan perancang pelan perniagaan.
 
  • UR6340002 Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Keusahawanan Kejuruteraan)
Matlamat program ini adalah untuk melahirkan usahawan yang berasaskan kejuruteraan dan teknologi pengurusan yang menyediakan pelajar dengan ilmu pengetahuan khusus dalam bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan. Program ini direkabentuk untuk para pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan tetapi mahu membangunkan pengetahuan dan kemahiran asas ilmu kejuruteraan yang berkaitan dengan penghasilan dan pemasaran produk-produk berasaskan teknologi dan industri. Seterusnya, program ini berhasrat melahirkan graduan yang mempunyai kefahaman dan kemahiran yang lebih seimbang antara aspek keusahawanan dan teknikal melalui pembelajaran kursus-kursus asas kejuruteraan dan keusahawanan. Mereka juga mampu berdikari, komited terhadap lapangan yang diceburi serta mempunyai daya saing yang tinggi untuk berhadapan dengan cabaran di era globalisasi pada masa kini. Graduan Keusahawanan Kejuruteraan mempunyai prospek kerjaya yang amat cerah memandangkan mereka dilatih untuk menjadi usahawan teknologi yang berjaya. Berbekalkan ilmu, kemahiran dan pengalaman melalui program inkubator secara off-campus, graduan diyakini mampu menceburkan diri secara sepenuh masa dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Tidak dinafikan, mereka akan berhadapan dengan segala risiko yang perlu dihadapi oleh seorang usahawan. Namun diyakini graduan program ini mampu menghasilkan individu yang berdaya saing yang tinggi, komited, cekal untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

 
 

Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam
  • UR6526001 Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian
Program ini adalah bertujuan melahirkan para graduan yang berkelayakan akademik dan berkemahiran di dalam bidang Kejuruteraan Awam.  Para graduan diterapkan dengan budaya ilmu kejuruteraan supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai jurutera profesional serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.  Pelajar-pelajar yang mengikuti program ini akan didedahkan dengan pelbagai bidang ilmu mengenai kejuruteraan awam yang meliputi rekabentuk struktur, asas bangunan, teknologi konkrit dan besi, geoteknik, geomatik, pengurusan projek binaan, pengurusan sumber air, sistem binaan berindustri (IBS), teknologi bangunan pintar dan bahan binaan.

Prospek pekerjaan dan karier bagi bakal graduan adalah amat cerah kerana bidang ini sudah lama sinonim dengan pembangunan tamadun manusia. Graduan Kejuruteraan Awam akan mendapat peluang pekerjaan di agensi-agensi kerajaan dan swasta.  Mereka berpeluang berkhidmat sebagai jurutera dalam industri pembinaan, jurutera perunding, kontraktor, pegawai penyelidik (R&D) di institusi akedemik dan penyelidikan serta agensi kerajaan seperti JKR, JPS dan Majlis Perbandaran serta Kerajaan Tempatan. 
 
  • UR6526002 Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar dengan Kepujian
Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat iktisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar. Para graduan diterapkan dengan budaya ilmu kejuruteraan supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai jurutera profesional serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.  Kurikulum Kejuruteraan Alam Sekitar adalah merangkumi pengetahuan dalam bidang sains kejuruteraan (seperti termodinamik, mekanik bendalir dan pemindahan jisim), sains tulen (seperti ekologi asas dan kimia sekitaran), pengurusan sumber alam sekitar (seperti penilaian dan pengurusan alam sekitar) serta teknologi kejuruteraan alam sekitar (seperti kejuruteraan air sisa, kejuruteraan pencemaran udara dan remediasi alam sekitar).

Prospek kerjaya para graduan setelah tamat kursus adalah luas kerana mereka dilatih secara multidisiplin yang melibatkan kajian kimia, mikrobiologi, ekologi dan pengurusan kejuruteraan dan alam sekitar selain daripada prinsip-prinsip kejuruteraan.  Di antara sektor-sektor kerajan dan swasta yang menawarkan peluang kerjaya kepada para graduan adalah seperti JAS, JPS dan JKR, Nuclear Malaysia, MARDI, PORIM, NIOSH, industri tenaga, air, petroleum dan petrokimia serta pembinaan, tempatan dan antarabangsa. 
 
  • UR6526003 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan) dengan Kepujian
Program ini direkabentuk untuk melahirkan graduan yang mempunyai kepakaran dari segi teori dan praktikal dalam bidang Teknologi Kejururuteraan Awam khususnya dalam bidang pembinaan. Para graduan akan diterapkan dengan ilmu dan kemahiran teknikal yang berpandukan kepada teknologi terkini yang memenuhi permintaan pasaran semasa. Pengetahuan dalam bidang teknologi kejuruteraan pembinaan bukan sahaja tertumpu kepada aspek teknikal sahaja malahan menitik berat aspek pengurusan serta pembangunan mampan dan mempunyai elemen teknologi hijau yang mengambil kira keperluan generasi akan datang.

Prospek pekerjaan dan karier bagi bakal graduan adalah luas kerana bidang ini sudah lama sinonim dengan pembangunan tamadun manusia. Graduan peluang memasuki alam pekerjaan di agensi-agensi kerajaan dan swasta. Mereka berpeluang berkhidmat sebagai kontraktor dalam industri pembinaan, usahawan dalam bidang pembinaan, jurutera/penyelia tapak, pegawai kesihatan dan keselamatan perkerjaan di tapak bina, pembekal produk pembinaan, pegawai penyelidik (R&D) di institusi akademik dan penyelidikan dan juga agensi kerajaan. Latihan Industri selama 6 bulan di syarikat awam dan swasta membolehkan graduan mempersiapkan diri sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar.
 
  • UR6582001 - Sarjana Muda Teknologi Pembinaan Bangunan dengan Kepujian
Program ini  merupakan kombinasi dari pelbagai bidang seperti teknologi dan kaedah pembinaan bangunan, teknologi perkhidmatan bangunan, pengurusan kualiti projek, pengurusan projek pembinaan, pengurusan keselamatan, kesihatan dan pengurusan persekitaran, anggaran penilaian pembinaan dan perolehan, pengurusan sisa perobohan binaan, keperluan perundangan pembinaan dan sebagainya. Kursus ini dibentuk selaras dengan persekitaran industri pembinaan yang terkini dan memberi penekanan serta pendedahan kepada sistem teknologi pembinaan bangunan pada masa kini.
 

 

 
    

  Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik
 
  • UR6523001 Sarjana Muda Kejuruteraan Mikroelektronik dengan Kepujian
Program ini direkabentuk untuk membekalkan tenaga mahir yang juga cekap dan berkebolehan mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari untuk menyokong pertumbuhan pesat industri mikroelektronik di negara kita. Graduan program ini akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam kedua-dua bidang rekabentuk dan fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan di bidang fabrikasi litar terkamir. Peluang kerjaya para graduan di bidang ini amat meyakinkan. 
 
  • UR6523002 - Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer dengan Kepujian
Program ini telah diperkenalkan untuk membekalkan tenaga pekerja mahir serta cekap dalam merekabentuk perkakasan dan perisian di mana penumpuan diberikan kepada rekabentuk sistem terbenam dan sistem komputer. Ia selaras dengan pertumbuhan pesat industri perkakasan dan perisian komputer di Malaysia. Berbekalkan kelebihan sistem pengajaran secara aplikasi pengetahuan terhadap perisian-perisian dan perkakasan-perkakasan yang berkaitan dan terkini. Dengan pengetahuan tersebut para graduan akan mempunyai keyakinan yang tinggi serta dapat menyesuaikan diri dengan cepat sama ada dalam sektor industri atau R&D.
 
  • UR6523004 Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan dengan Kepujian
Program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berperanan untuk menghasilkan jurutera bioperubatan yang mempunyai asas yang kukuh serta berkemampuan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, rekabentuk, pembuatan, penyelenggaraan, pemasaran dan pengurusan yang mengkhusus dalam bidang yang berkaitan. Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan merupakan satu bidang ilmu yang menggabungkan ilmu kejuruteraan elektrikal, elektronik, mekanikal bahan serta ilmu perubatan seperti anatomi, fisiologi, dan radiologi. Hasil dari kombinasi ilmu tersebut digunakan untuk membangunkan teknologi terkini dalam bidang perubatan.

Bakal graduan program ini akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi sebagai seorang jurutera bioperubatan yang boleh mengadunkan pengetahuan kejuruteraan elektronik, kejuruteraan mekanikal serta sistem biologi manusia bagi menghasilkan instrumen bioperubatan dan peralatan perubatan yang lain.  Selain daripada kursus teras kejuruteraan, pelajar juga diberikan kemahiran insaniah seperti etika, pengurusan, keusahawanan, komunikasi dan kemahiran berfikir. Graduan dari program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berpotensi untuk berkhidmat di hospital-hospital, syarikat-syarikat penyelenggaraan peralatan perubatan, institusi penyelidikan dan pembangunan produk perubatan serta industri peralatan elektronik.
 
  • UR6523005 Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian
Program ini diperkenalkan untuk menentukan Malaysia terus mampu berdaya saing dalam industri semikonduktor. Para graduan yang dilahirkan boleh menyumbang sebagai tenaga mahir tempatan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari dalam bidang-bidang elektronik dan rekabentuk serta fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan dalam merekabentuk sistem-sistem mikroelektronik. Peluang pekerjaan dalam bidang ini juga terbuka luas terutamanya di beberapa syarikat multi-nasional antaranya Intel, Infineon, Silterra, Motorola, MIMOS, Flextronics, Agilent Technologies dan Avago Technologies. Program ini meyakinkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja separa profesional selaras dengan perkembangan Pelan Induk Perindustrian Negara.
  
  • UR6523007 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Sistem Elektronik) dengan Kepujian
Program ini dibangunkan dengan tujuan untuk menyediakan pelajar dengan pemahaman menyeluruh teori dan praktikal di dalam bidang elektronik, terutamanya di dalam proses fabrikasi mikroelektronik. Program ini juga memberikan peluang yang luas untuk pelajar mengaplikasikan pengetahuan ini di dalam beberapa kursus dan projek-projek terancang yang secara tidak langsung menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran sebagai jurutera teknologi. Daripada peringkat permulaan lagi, penegasan terhadap pembelajaran berasaskan projek dan masalah (problem and project based learning) didedahkan kepada pelajar. Ini akan meningkatkan lagi peluang pekerjaan pelajar dengan pembangunan portfolio projek yang holistik dan lengkap. Pelajar akan menggunakan fasiliti terkini termasuk makmal bersih, makmal analisa kegagalan dan makmal pembungkusan semikonduktor.
 
  • UR6523008 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Rekabentuk Telekomunikasi Elektronik) dengan Kepujian
Program ini menyediakan pelajar untuk kerjaya dalam industri telekomunikasi serta untuk menangani pemindahan dan keperluan pendidikan berterusan graduan dalam telekomunikasi atau bidang-bidang lain yang berkaitan. Program ini mempunyai asas yang kukuh Matematik dan Fizik, menyediakan pelbagai elektif dalam Kesenian, Sains dan Kemanusiaan dan memberi tumpuan kepada menggunakan kaedah teknologi kejuruteraan semasa ke arah penyelesaian masalah teknikal.

Graduan program ini akan terlibat di dalam program dalam industri-industri yang berkaitan dengan Sistem Telekomunikasi dan Rangkaian, Penghantaran dan sistem suis, Keselamatan dalam rangkaian komunikasi, komunikasi optik dan tanpa wayar, teknologi internet dan teknologi telekomunikasi.
 
  • UR6523009 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Rekabentuk Rangkaian Elektronik) dengan Kepujian
Program ini bertujuan melahirkan siswazah yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi rangkaian komputer dan telekomunikasi.  Program ini berasaskan kursus-kursus elektronik yang digandingkan dengan kursus-kursus Sistem Rangkaian Komputer dan Telekomunikasi Data. Program ini memberi pendedahan berkaitan teori dan amali sistem-sistem elektronik, isyarat dan sistem, sistem teknologi rangkaian dan telekomunikasi seperti Sistem TCP/IP Internet, Sistem Keselamatan Rangkaian dan Pemasangan serta Konfigurasi Sistem Rangkaian Komputer.

Graduan program ini akan mampu mengendalikan, membangunkan, mengintegrasi Sistem Rangkaian Komputer dan Telekomunikasi Data serta mampu mengenal pasti masalah (Troubleshooting) peralatan elektronik yang berkaitan dengan Sistem Rangkaian Komputer dan Telekomunikasi Data. Program ini menekankan aspek pembelajaran dan pendekatan teori dan amali yang seimbang yang memenuhi keperluan industri. Dengan perkembangan teknologi Internet dan Telekomunikasi 4G, 5G dan seterusnya, graduan program ini juga mempunyai prospek pekerjaan yang luas dalam industri elektronik dan rangkaian komputer serta telekomunikasi data di syarikat-syarikat swasta, jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun.
 
  • UR6523011 Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri dengan Kepujian
Program ini  merupakan kombinasi dari pelbagai bidang seperti elektronik, elektrikal, mekanikal, sistem kawalan, pengatucaraan, sistem rangkaian   komputer, sistem integrasi ,  dan sebagainya. Kursus ini dibentuk selaras dengan persekitaran industri yang terkini dan memberi penekanan serta pendedahan kepada sistem automasi elektronik industri pada masa kini.
 


   
    

 Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik

 
  • UR6522001 Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian
Program ini tertumpu kepada beberapa bidang utama dalam kejuruteraan elektrik iaitu sistem kuasa, tenaga boleh diperbaharui, dan elektronik kuasa. Pelajar yang mengikuti program ini akan mempelajari keseluruhan operasi di dalam sistem kuasa merangkumi penjanaan, penghantaran, perlindungan dan pengagihan tenaga elektrik. Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada pelajar mendalami bidang kejuruteraan voltan tinggi, pemacu mesin elektrik, penjanaan dan penggunaan tenaga dari sumber boleh diperbaharui, dan rekabentuk litar penukar elektronik kuasa.
 
  • UR6523003 Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian
Program ini bertujuan melahirkan tenaga kerja profesional yang mempunyai pengetahuan asas yang kukuh serta mahir dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik.  Graduan juga mempunyai semangat profesionalisme yang tinggi.  Justeru itu, struktur kurikulum telah dibentuk untuk memberi pelajar kebolehan menganalisa, merekabentuk, mengendali dan menyelenggara peralatan-peralatan elektrik & elektronik, mekanikal, perisian komputer dan teknologi maklumat.  Selain daripada kursus teras kejuruteraan, pelajar juga diberikan kemahiran insaniah seperti etika, pengurusan, keusahawanan, komunikasi dan kemahiran berfikir.  Selain daripada itu, para pelajar diwajibkan menjalani latihan industri bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan teknikal dari industri. 
Graduan program ini mempunyai prospek pekerjaan yang luas dalam syarikat-syarikat swasta, industri, jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun. Ia merangkumi bidang-bidang seperti bidang kejuruteraan, pengeluaran, penyelidikan, rekabentuk, analisis, pembangunan, pengujian dan lain-lain bidang yang berkaitan.
 
  • UR6522002 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) dengan Kepujian
Program ini tertumpu kepada bidang sistem kuasa industri. Pelajar yang mengikuti kursus ini akan mempelajari keseluruhan operasi dalam sistem kuasa merangkumi sistem penjanaan, penghantaran dan pengagihan kuasa. Selain itu, kursus ini turut meliputi mesin elektrik, pengoperasian pencawang, sistem pengaturan, kawalan motor dan pengawal mesin PLC. Secara umumnya, bidang kuasa industri mempunyai skop yang luas terutamanya di dalam bidang operasi dan penyelenggaraan motor berkuasa tinggi dan sistem pengagihan kuasa domestik.
 
  • UR6523006 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi) dengan Kepujian
Program ini adalah bidang gabungan pelbagai disiplin yang merangkumi disiplin kejuruteraan elektrik, mekanikal, elektronik, kawalan, dan komputer yang mana membolehkan graduan memiliki gabungan pengetahuan teori dan praktikal yang baik bagi sistem mekatronik bersepadu dalam memenuhi keperluan industri robotik dan automasi. Kurikulum program ini direkabentuk untuk menghasilkan graduan profesional yang dibekalkan dengan kemahiran analisis dan berupaya untuk bekerja dalam industri dan semua bidang kejuruteraan multi-disiplin.

Sebagai tambahan kepada asas dalam konsep mekatronik, pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Teknologi Robotik dan Automasi) mempelajari topik-topik terkini dan berkaitan untuk kelestarian teknologi semasa. Persekitaran pembelajaran juga adalah lebih bersaing dan menyeronokkan dengan gabungan teknologi-teknologi terkini.
 
  • UR6522003 Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik Dengan Kepujian
Program ini menumpukan pengajian dalam bidang penyelenggaraan sistem elektrik. Pelajar yang mengikuti kursus ini akan mempelajari pelbagai sistem elektrik khususnya sistem yang digunakan di industri seperti sistem mesin elektrik, sistem solar, sistem penjanaan, sistem elektrik bangunan dan sistem kawalan elektrik. Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan ilmu pengurusan tenaga elektrik sebagai persediaan di alam pekerjaan seperti pelaporan teknikal, analisa sistem, pengurusan penyelenggaraan dan perancangan projek. Secara umumnya, bidang penyelenggaraan sistem elektrik merupakan bidang yang penting dalam pelbagai sektor industri kerana program ini merangkumi skop operasi sistem elektrik yang luas.
 

 
       
Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal
 
  • UR6521001 Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian
Objektif program ini adalah bertujuan melahirkan tenaga mahir di peringkat ikhtisas serta mempunyai semangat profesionalisme dan pengetahuan asas yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.  Struktur kurikulum dibentuk agar para graduan mempunyai kebolehan serta kepakaran menganalisa, merekabentuk dan menghasilkan produk serta mampu mengadaptasi perubahan-perubahan sektor pekerjaan yang bakal ditempuhi.  Selain daripada kursus teras kejuruteraan, pelajar juga diberikan kemahiran insaniah seperti etika, pengurusan, keusahawanan, komunikasi dan kemahiran berfikir. Selain daripada itu, para pelajar diwajibkan menjalani latihan industri bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan teknikal dari industri.

Para graduan mempunyai prospek pekerjaan yang meluas di sektor awam dan swasta iaitu industri pembuatan, pengeluaran, institusi pembangunan dan penyelidikan, jabatan-jabatan kerajaan, badan berkanun dan lain-lain. Antara bidang-bidang yang berkaitan ialah mekanikal, haba, aliran bendalir, pembangunan produk-produk kejuruteraan dan produk pintar (smart products) yang mengintegrasikan pengetahuan elektronik, mikropemproses, dan sistem kawalan.
 
  • UR6540001 Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Kepujian
Objektif utama program ini adalah untuk melatih pelajar dalam bidang kejuruteraan pembuatan melalui penjanaan dan penyebaran teknik-teknik berinovasi dalam pengajaran dan penyelidikan. Perjalanan kursus telah dirangka ke arah melahirkan jurutera yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari. Pelajar-pelajar dibekalkan dengan kebolehan merekabentuk, membangun dan melaksanakan sistem bersepadu yang menggabungkan unsur-unsur kemanusiaan, bahan, peralatan, maklumat dan tenaga. Struktur program ini adalah berlandaskan silibus kejuruteraan mekanikal yang merangkumi teras seperti Mekanik, Termo-bendalir, Bahan, Pembuatan, Kawalan, Mekatronik, Pembuatan Termaju, dan Sistem Pembuatan di samping kursus-kursus universiti yang menerapkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, pengurusan, dan keusahawan.

Dengan itu, kemahiran yang diterapkan akan membantu melahirkan jurutera yang berkebolehan menangani sebarang masalah dalam pelbagai industri. Graduan program ini juga dilatih supaya bersikap profesional dalam menjalankan tugas dengan mempraktikkan proses pembelajaran berterusan sama ada secara formal atau tidak formal. Graduan ini berpeluang untuk bertugas sebagai jurutera pembuatan dalam pelbagai industri, sebagai contoh, automotif, elektronik, farmasiutikal, tekstil serta industri pemprosesan makanan.
 
  • UR6521002 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Pemesinan) dengan Kepujian
Program ini menyediakan tenaga kerja yang kenalfaham teknologi, produktif, inovatif dan kreatif serta mengamalkan nilai-nilai murni secara bersepadu supaya dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara yang berorientasikan kepada teknologi kejuruteraan secara berkesan. Secara dasarnya, kurikulum program ini dirangka dengan menjurus kepada keperluan praktikal bagi melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dalam bidang  teknologi kejuruteraan serta memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh pihak industri dan sektor-sektor lain yang berkaitan.

Para pelajar akan didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran dalam kursus berkaitan bidang mekanikal dan pembuatan termasuklah kursus teknologi kejuruteraan bahan, teknologi pembuatan termaju, pengurusan teknologi dan industri yang menjurus kepada bidang teknologi kejuruteraan pemesinan. Disamping itu, para pelajar juga akan didedahkan dengan kursus-kursus universiti yang menerapkan kemahiran komunikasi, berfikir dan elemen-elemen etika profesionalisma dalam kerjaya. Bakal graduan berpotensi untuk memenuhi permintaan tinggi tenaga kerja di sektor swasta dan awam dalam bidang-bidang teknologi kejuruteraan, pengeluaran, penyelidikan dan khususnya dalam bidang-bidang yang berasaskan teknologi kejuruteraan pemesinan. 
 
  • UR6521003 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Sistem Pertanian) dengan Kepujian
Program ini adalah berdasarkan teknologi dalam sistem pertanian yang bersifat lestari dan memfokus kepada integrasi teknologi dan aplikasi prinsip kejuruteraan yang digunakan dalam bidang pertanian serta amalan pengurusan perniagaan dalam industri yang berasaskan pertanian. Program ini ditawarkan bertujuan untuk melahirkan graduan tenaga profesional dalam bidang teknologi kejuruteraan yang boleh terus diambil bekerja kerana kompeten dalam mengintegrasikan teknologi dan kejuruteraan dengan konsep dan amalan pengurusan perniagaan dalam industri berasaskan pertanian. Pengajaran dan pembelajaran program pengajian secara hands on dilaksanakan dalam berbagai bidang seperti kejuruteraan pertanian, kejuruteraan air dan tanah, pengeluaran tanaman makanan, pengeluaran haiwan ternakan, akuakultur, agrobioteknologi dan pengurusan perniagaan. Di samping itu, kurikulumnya direkabentuk agar graduan dapat menyesuaikan diri lebih awal dengan persekitaran industri dan terus bekerja dengan industri berasaskan pertanian dan yang berkaitan dengannya.
 
Graduan program Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Sistem Pertanian) memenuhi keperluan tenaga kerja profesional (Jurutera Teknologi) dalam sektor industri perladangan, industri pengeluaran tanaman, ternakan dan akuakultur, pemprosesan makanan, pembuatan atau perkhidmatan dalam industri berasaskan pertanian dan makanan, pengurusan sumber asli dan pelbagai industri kecil dan sederhana berasaskan pertanian dan sumber asli di samping sektor awam, institusi penyelidikan dan badan berkanun.
 
  • UR6521004 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk Produk) dengan Kepujian
Objektif program ini ialah untuk melahirkan tenaga kerja teknikal yang memiliki kemahiran tinggi serta pengetahuan asas yang kukuh di dalam bidang teknologi kejuruteraan mekanikal secara amnya dan di dalam bidang pembangunan produk secara khususnya. Program ini telah dirangka secara holistik bagi menyediakan pelajar dengan adunan pengetahuan teori dan kemahiran teknikal di dalam displin pembangunan produk yang berasaskan teknologi kejuruteraan mekanikal selari dengan kehendak industri. Dengan itu, ianya akan membantu melahirkan jurutera teknologis yang bertanggungjawab mengaplikasikan, menyediakan, menyelenggarakan seta membangunkan segala aspek yang berkaitan dengan teknologi kejuruteraan mekanikal yang moden.
 
  • UR6543001 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Pemprosesan Bahan) dengan Kepujian
Graduan lulusan program ini akan mempunyai kemahiran untuk menghasilkan atau mengkaji bahan dengan menggunakan proses-proses terkini untuk mereplikasikan ciri-ciri bahan tersebut. Semua benda yang kita nampak dan guna adalah dibuat daripada bahan: kereta, komputer, peti ais dsb. Ciri-ciri tertentu yang diperlukan adalah hasil daripada pemilihan bahan tertentu dan kawalan proses pembuatan untuk menukarkan bahan asas kepada produk akhir. Peluang kerjaya yang luas dalam pelbagai industri yang terlibat dalam pemprosesan bahan seperti industri keluli, cakera keras komputer, gentian kaca, sarung tangan perubatan dsb.
 
  • UR6521006 - Sarjana Muda Teknologi Pemesinan Industri dengan Kepujian
Program ini menumpukan pengajian dalam bidang pembuatan dan pemesinan. Program ini akan melahirkan teknologis pemesinan yang menjalankan kerja seperti rekabentuk mesin dan sistem pembuatan, pengilangan, penyelenggaraan mesin, pengurusan kemudahan mesin dan pengurusan pengeluaran dan pengurusan projek berkaitan mesin. Program ini juga bertujuan untuk menghasilkan usahawan tekno dalam teknologi berkaitan pemesinan dan seterusnya menghasilkan profesional yang dihormati dan dirujuk dalam teknologi pemesinan.
 
  • UR6525001 - Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian
Program ini menumpukan pengajian dalam bidang teknologi automotif dengan penekanan kepada tiga bidang utama iaitu pembuatan automotif, penyelenggaraan kenderaan dan pengubahsuaian rekabentuk kenderaan. Di dalam program ini, para pelajar boleh memilih satu pengkhususan atau kepakaran yang ingin dipelajari daripada dua pilihan yang disediakan iaitu kepakaran diagnosis kenderaan dan kepakaran pengubahsuaian rekabentuk kenderaan. Sepanjang pengajian di program ini, para pelajar akan didedahkan dengan pelbagai teknologi i dalam industry automotif seperti percetakan 3D, Augmented Reality, Virtual Reality, kenderaan elektrik dan kenderaan tanpa pemandu, selaras dengan peredaran Revolusi Perindustrian ke-4.
 
  • UR6521005 - Sarjana Muda Teknologi Kimpalan dengan Kepujian
Program ini menumpukan pengajian dalam bidang teknologi kimpalan. Program ini akan melahirkan teknologi kimpalan yang menjalankan kerja kimpalan yang berkaitan termasuk penyelenggaraan, fabrikasi, rekabentuk, penasihat keselamatan dan pengurus pengeluaran. Selain dari itu, program ini juga mendedahkan  pelajarnya kepada ilmu pengurusan dan teknousahawan dalam bidang kimpalan. Program ini dibentuk selaras dengan keperluan persekitaran industri terkini dan memberi penekanan serta pendedahan dalam pelbagai industri berkaitan kimpalan. Secara umumnya, bidang kimpalan merupakan bidang yang penting dan meluas dalam pelbagai sektor industri yang merangkumi kerja-kerja berkaitan fabrikasi, rekabentuk penasihat keselamatan dan penyelengaraan.